7/22/09

hadis 'amatilah wahai saudaraku'


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau (Syak Perawi Hadis) seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia.

(H.R.Muslim)

Keterangan

Hadis ini menerangkan kepada kita betapa dahsyat dan hebatnya ujiaan terhadap iman seseorang diakhir zaman. Seseorang yang beriman di waktu pagi, tiba-tiba dia menjadi kafir diwaktu petang. Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman di waktu petang, tiba-tiba pada esok paginya telah menjadi kafir. Begitu pantas dan cepat perubahan yang berlaku. Iman yang begitu mahal boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari sahaja, sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya hendak mendapatkan sedikit dari harta benda dunia. Dunia lebih dicintai di sisi mereka daripada iman. Dan menurut riwayat Ibnu Majah, beliau menambahkan, "kecuali orang yang hatinya dihidupkan Allah swt. dengan ilmu".
Mudah-mudahan Allah swt. menjadikan kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga dengan itu Allah Swt. akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat ini.

2/10/09

Tuntutan Dalam Membaca Al-Quran..

TILAWAH al-Quran bukan asing bagi masyarakat Islam di negara ini, malah Malaysia antara negara pelopor mengadakan acara itu setiap tahun.

Dalam mana-mana majlis tilawah, qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan dengan seni lagu atau tarannum. Kehandalan seseorang pembaca bukan sekadar diukur kepada kebolehan tajwid tetapi sedap atau tidak pembacaannya.

Melagukan al-Quran berbeza daripada nasyid, qasidah dan burdah malah menurut Imam Syafie, melagukan al-Quran ialah mengelokkan kitab suci itu tanpa melanggar hukum tajwid.

Namun, timbul perselisihan pendapat di antara ulama salaf (dahulu) dan ulama khalaf (kemudian) mengenai kesenian lagu al-Quran. Ada berpendapat hukum berlagu makruh dan harus.

Antara ulama yang berpendapat hukum berlagu makruh ialah Anas bin Malik, Said bin Jabir, Ibn Sirin, Imam Malik dan Imam Ahmad. Mereka bersandarkan kepada hadis yang berbunyi:

“Bacalah al-Quran dengan bentuk suara dan lagu Arab, hendaklah dijauhkan dengan bentuk lagu ahli kitab dan orang fasik. Sesungguhnya akan datang selepas aku kaum tertentu yang membaca al-Quran seperti orang bernyanyi dan cara ahli kitab dan cara seperti meratap iaitu keluar huruf melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan makhraj huruf semata-mata bertujuan mempesona dan menakjubkan orang saja.”

Selain itu, Imam Ahmad berpendapat, pembacaan al-Quran secara berlagu suatu perkara bidaah dan ia melarang daripada mendengarnya.

Ulama yang berpendapat hukum berlagu adalah harus ialah Umar Ibn Khattab, Ibn Abbas, Ibn Mas’ud, Imam Hanafi dan Imam Syafie. Mereka berpandukan hadis nabi, antaranya:

“Daripada Barra’ bin Azib berkata: Rasulullah bersabda (maksudnya): Seseorang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan di syurga bersama Malaikat dan hiasilah al-Quran dengan suaramu.”

Menurut Imam Mawardi, melagukan al-Quran itu boleh selagi tidak keluar daripada kaedah hukum tajwid sehingga lagu merosakkan bacaan.

Ijmak ulama menyatakan, menjadi suatu yang digalakkan mendengar bacaan al-Quran seorang yang mempunyai suara baik kerana ia lebih jelas kepada makna yang dikehendaki.

Pensyarah al-Quran dan Tarannum, Kolei Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Muhammad Lukman al-Hafiz Ibrahim, berkata masyarakat Islam perlu menganggap tarannum suatu tuntutan dengan melihat kepada beberapa hadis sahih Rasulullah s.a.w yang menyuruh dan beramal demikian.

Asas bertarannum, katanya, ialah hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: “Bukanlah umat kami mereka yang tidak bertaranum dengan al-Quran.” (Sahih Bukhari: 6/273)

“Suatu bukti yang tidak dapat disangkal ialah mereka yang belajar ilmu tarannum adalah lebih baik tilawah serta tajwidnya berbanding dengan mereka yang tidak belajar,” katanya.

Beliau berkata, ini sesuai dengan gesaan Rasulullah s.a.w supaya membaca al-Quran dengan cara yang paling baik, seperti yang dapat difahami melalui satu hadis bermaksud:

“Hiasilah al-Quran dengan suaramu kerana suara yang baik akan menambah keelokan al-Quran.” (Riwayat Hakim 1/768).

“Suara perlu dibentuk dengan tarannum yang baik untuk menyambut suruhan Rasulullah s.a.w ini. Jika tidak bacaan akan menjadi buruk dan tidak elok. Ini bertentangan dengan kemuliaan al-Quran.

“Seorang yang berkata tidak mampu bertaranum dengan alasan suaranya tidak baik hanya memberi alasan yang remeh.

“Mereka sebenarnya tidak belajar bertaranum yang betul untuk al-Quran. Realiti ini memang terbukti melalui kursus dan kelas yang diadakan.

“Sehingga guru dan penceramah agama sendiri yang mahir dalam ilmu tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain tidak membaca al-Quran dengan baik malah salah,” katanya.

Punca perkara itu, katanya, hanya satu kerana tidak belajar al-Quran sedangkan mereka mendalami ilmu tafsir, hadis, fiqah dan lain-lain.

“Sekiranya dilihat dari sudut masyarakat Islam pula, mereka yang lemah dalam membaca al-Quran masih ramai bahkan sebahagiannnya tidak tahu membaca langsung. Itu belum lagi dibincangkan persoalan membaca dengan baik dan bertarannum,” katanya.

Jelas, berdasarkan keterangan itu termasuk beberapa hadis menegaskan supaya membaca al-Quran dengan suara elok dan berlagu menyumbangkan kepada keelokannya.

Tetapi ini tidak bermakna mereka yang tidak boleh berlagu dipaksa agar berbuat demikian, sesuai dengan hadis bermaksud: “Sesungguhnya mengelokkan suara dalam pembacaan al-Quran adalah dituntut. Jika tidak berkemampuan hendaklah diperelokkan sekadar termampu saja.”

Menurutnya, amalan berlagu dalam pembacaan al-Quran bermula sejak era kegemilangan generasi pertama Islam, iaitu zaman Rasulullah s.a.w.

“Imam Ibn Hajar Asqalani meriwayatkan, masyarakat Arab cukup suka berlagu sama ada ketika menunggang unta, di halaman rumah dan di mana sahaja. Apabila al-Quran diturunkan, Rasululah s.a.w mahukan minat berlagu itu dipindahkan kepada tarannum al-Quran (Fath al-Bari 6/69).

“Satu riwayat lain dari Imam Ibn Batthal menyebutkan, Saidina Umar meminta Abu Musa al-Asy`ari (qari ulung di kalangan sahabat) membaca al-Quran di hadapannya. Maka, Abu Musa membaca sambil bertarannum. Kata Umar r.a sesiapa yang mampu untuk bertaranum seperti Abu Musa, silalah (Syarah al-Bukhari oleh Ibnu Battal 9/342)

“Asasnya di sini ialah mengutamakan bacaan bertajwid dan tarannum bertujuan untuk memperelokkan lagi bacaan al-Quran,” katanya.

Jenis lagu adalah pelbagai, tetapi yang biasa bagi masyarakat di Malaysia ada tujuh, membabitkan lagu Bayati (dimasyhurkan orang Mesir), lagu Soba (berasal dari Arab Mesir), lagu Hijaz (berasal dari Hijaz iaitu Makkah dan Madinah), lagu Nahawand (berasal dari Hamdan, Parsi), lagu Rast (berasal dari Parsi), lagu Jaharkah (berasal dari Afrika) dan Sikah (berasal dari Parsi).

Muhammad Lukman berkata, seseorang yang ingin membaca al-Quran boleh memilih mana-mana tarannum yang sesuai dengan suara mereka.

“Umat Islam memang dituntut mempelajari tarannum sepanjang zaman dengan tujuan untuk memperelokkan (tahsin) tilawah al-Quran.

“Namun, asas dalam tarannum al-Quran adalah tajwid. Al-Quran wajib dibaca dengan tajwid.

“Taranum juga adalah tuntutan, namun tidak boleh sekali-kali mendahului tajwid dan melampau dalam tarannum sehingga membelakangi tajwid. Perkara ini mesti dijauhi,” katanya.

Cuma, katanya, syarat pembelajaran tajwid dan tarannum adalah secara talaqqi dan musyafahah (belajar secara langsung dan menghadap guru).

“Kaedah menggunakan kaset, cakera padat video (VCD) dan media lain hanyalah sebagai satu alat bantu tambahan dan ia bukan asas kepada pembelajaran al-Quran,” katanya.

2/5/09

bacaan al-quran ustaz yahya daud..

Muhasabah buat diriku agar tidak lupa...

Semoga sahabat berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya dalam menelusuri(melalui) mehnah dan ujian di dunia ini. Kita hendaklah sentiasa beringat bahwa Allah sememangnya mendatangkan ujian kepada hambanya bagi menilai sejauh mana hambanya ini memikul dan menyelesaikannya hingga sampai ke satu tahap bahawa kita merasakan 'MANIS'nya ujian itu.

Tentang tazkirah ini, rasanya ramai yang lebih berkelayakan dari saya untuk memberi tazkirah pada sahabat, cuma pada kali ini saya cuba memberi sekadar yang termampu buat sahabat sebagai panduan menjalani hidup di dunia ini. Kita kan insan yang selalu dalam kelalaian dan kealpaan. Insan ini perlu diingat-ingatkankan selalu agar senantiasa dalam jalan yang benar dan tidak menyimpang mengikut hawa nafsu yang sentiasa nak merosakkan jiwa manusia. Sahabat memperingatkan saya dan saya pula memperingatkan sahabat. Betulkan?

Sahabat saya, Sememangnya memperbaiki diri ini bukan satu kerja yang senang apatah lagi terpaksa melalui jalan yang agak sukar sehingga sampai ke satu destinasi yang selamat yang dimimpi-mimpikan oleh semua jiwa yang suci. Jiwa sahabat adalah jiwa yang suci lagi murni jika teransang untuk mengubah diri dari segala kekotoran jiwa sebelum ini kepada jiwa yang putih laksana salju pada kedinginan musim sejuk. Adakah kita rasa 'SENSITIF' terhadap peribadi kita ?Bukti sensitifnya kita terhadap diri kita adalah kita sentiasa muhasabah diri kita. Orang yang selalu muhasabah ialah orang yang sensitif terhadap dirinya. Agak-agak bagaimana muhasabah itu berlaku ya?

Tiap-tiap hari MUHASABAH/MENGHITUNG DIRI mesti berlaku. Kita menghisab/menghitung segala apa yang kita lakukan pada hari tersebut. Hari ini banyak mana kebaikan yang kita lakukan . Banyak mana kejahatan yang kita lakukan. Cuma saya nak pesan pada sahabat tentang satu perkara penting yang perlu diberi perhatian! [Kita digalakkan agar JANGAN mengingati segala kebaikan yang kita telah buat seharian. Jangan selalu ingat dan ungkit-ungkit perkara kebaikan yang kita buat . Jangan! Kerana ingatan sedemikian itu akan melahirkan satu rasa yang negatif. Iaitu kita rasa yang kita sentiasa dalam kebaikan dan mungkin datang perasaan bangga bahawa kita ni baik dan berperibadi mulia. Ini lah bahaya nya. Lepas itu kita akan berkurangan melakukan kebaikan dan malas membuat kebajikan lagi. Berasa cukup dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini. Saya harap sahabat nampak dan jelas dengan penerangan yang ringkas ini.]

Kita digalakkan untuk berfikir dan mencari ruang kebaikan yang akan kita buat pada hari esok dan berikutnya. Kita mesti fikir tentang itu. Maksudnya esok mesti ada kebaikan yang kita lakukan. Saya mahu beri satu contoh yang waqi'/praktikal berada di dalam kehidupan kita. Pada hari sahabat baca emel ini, adalah hari yang pertama. Muhasabah berjalan seperi biasa. Kata sahabat (di dalam hati), esok sahabat mahu buat kebaikan. Dan hari esok pun menjelma buat sahabat dengan taqdir Allah. Sahabat harus mencari ruang untuk melakukan kebaikan. Oh ya! Ruang untuk kita melakukan kebaikan ada yang datang secara kita tak jangka dan ada yang dah kita jangka. Yang kita jangka seperti , selepas solat Subuh sahabat baca AlQuran, berzikir, berwirid dan lain2 kebaikan. Yang kita tak jangka seperti ada peminta sedekah yang meminta sedekah di luar masjid, ada orang buta yang kehilangan peneman jalan dan ada mak cik tua yang tak mampu memikul beban barang yang dibawa. Semua itu "BONUS' dari Allah buat kita sebagai ruang mencari kebaikan. Di situlah kita menabur kebaikan. Mana kita sangka , ada orang buta itu datang sebagai 'bonus' pada kita. Tetapi ia adalah ujian Allah buat manusia untuk melihat apa tindakan kita. Pahala tersembunyi melalui orang buta itu. Kalau kita tak buat, maka hilanglah 'bonus' itu kan !

Kesimpulan dari perkara ini ialah kita mesti berfikir akan kebaikan yang akan kita lakukan dan JANGAN sekali-kali kita fikir/ungkit-ungkit kebaikan yang telah kita lakukan !

Manakala perkara kejahatan pula wahai sahabatku, Kita tak payah susah-susah pikir/ungkit-ungkit kejahatan yang akan dilakukan. Siapa yang beranggapan seperti itu maksudnya hati itu kotor! Ya lah... Beranggapan yang negatif. Ingin membuat kejahatan.

Bagi muslim sebenar, kita kena renung dan pikir atau kita kena selalu ungkit-ungkit akan kejahatan yg telah kita lakukan. Moga-moga ia menimbulkan kesedaran pada kita bahwa lemahnya kita. Selepas berfikir itu, kita mestilah susuli dengan rasa penyesalan dan tak mahu kembali lagi ke desa kekotoran dan kejahatan tadi. Yang lepas tu biarlah berlalu. Tapi janganlah kita tanam cita-cita untuk mengulangi kejahatan yang lalu.